1
                                                                            Assalamualaikum
Selamat pagi wahai blogger-blogger sekalian..

Hari nie moh ler kite same-same baca metro  ahad hari nie..memang ade kene mengena ngan blogger-blogger sekalian,sebabnya sekarang nie kita banyak tahu di youtube banyak lagu-lagu cover yang dinyanyikan oleh anak-anak muda yang di upload di youtube untuk tontonan ramai..Positifnya adalah dengan cara ini blogger-blogger tidak terjebak dalam kegiatan sosial masa kini yang kita tahu amat-amat la ditakuti oleh ibu bapa dan masyarakt..

tapi harapan sis nie,harap blogger tidaklah terjebak dalam mengupload video-video yang tidak senonoh atau berunsur negatif..
jom baca entry ni
Depetik dari http://www.hmetro.com.my/articles/Hanyaberbakatjadibintang/Article/artikelMA


NURNAZARINA... pelajar perubatan Unimas.
NURNAZARINA... pelajar perubatan Unimas.
KUALA LUMPUR: Buat persembahan, rakam, muat naik ke YouTube dan tunggu tuah. Jika memang berbakat dan bernasib baik, rakaman itu bakal menarik minat jutaan penonton, sekali gus melonjakkan si penyanyi menjadi ‘superstar’ dalam sekelip mata.
Fenomena yang sebelum ini menggegarkan industri hiburan di Barat kini menular di Malaysia. Terbaru, ‘budak sekolah’ Najwa Latif mencipta kejutan apabila rakaman lagunya, Cinta Muka Buku yang dimuat naik ke Youtube ditonton enam juta pelayar Internet.

Walaupun ada pihak mendakwa lagu nyanyian dan ciptaan Najwa ‘biasa-biasa’ saja, pihak industri hiburan terpaksa mengalah dengan kehendak peminat kerana ia menjadi trend terkini.
   
  • FotoAINAN... lagu Aku Suka Dia
  • FotoTASHA... dari Sabah
Ternyata gelombang itu sungguh kuat hingga semakin ramai anak muda turut mencuba nasib menjadikan YouTube sebagai batu loncatan untuk menggapai impian bergelar penyanyi terkenal selepas kejayaan sama turut dicatat Yuna dan Zee Avi.

Terkini, beberapa remaja yang memuat naik lagu nyanyian mereka di YouTube turut dilihat mempunyai peluang cerah untuk mencipta nama. Antaranya Ainan Tasneem, Tasha Manshahar, Nur Nurnazarina, Ajek Hassan, Syed Shamim dan Amri.

Walaupun didakwa menggunakan YouTube sebagai batu loncatan supaya bakat mereka disedari penggiat seni, seterusnya menggapai impian menjadi artis, kebanyakan ‘bintang muda’ terbabit menegaskan, pada mulanya rakaman yang dimuat naik hanya sebagai tatapan teman dan keluarga.
Hal ini diakui Ainan Tasneem Ridzuan, 20, yang kini popular dengan lagu Aku Suka Dia.

“Saya memuat naik rakaman sekadar suka-suka, malah tidak pernah terlintas untuk menceburi bidang nyanyian secara serius.
“Menyanyi sekadar hobi, tak mungkin saya bergiat serius sebagai penyanyi. Ibu bapa tidak menghalang hobi itu, tetapi kurang menggalakkannya.

“Sejak kecil saya bercita-cita menjadi pensyarah dan tiada masalah untuk memenuhi permintaan mereka. Mungkin segelintir masyarakat menganggap saya menjadikan YouTube untuk menampilkan bakat, namun ia sebenarnya hanya sebagai memenuhi permintaan teman rapat,” kata penuntut Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dalam jurusan Sarjana Kejuruteraan Bioproses ini.

Bermula dengan memuat naik rakaman ‘cover version’ di Facebook (FB), Ainan dicabar menghasilkan lagu sendiri, lalu terhasillah lagu Aku Suka Dia sebelum seorang teman FB memuat naik rakaman itu di Youtube.

“Tak sangka lagu itu menarik 750,000 penonton, menyebabkan saya terus menggunakan medium itu untuk memuat naik rakaman lagu yang pernah dipopularkan penyanyi lain,” katanya yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman Music Vally.

Sementara itu, gadis kelahiran Sandakan, Sabah, Tasha Manshahar atau nama sebenarnya, Nur Nadia Natasha Mohd Manshahar, 20, mula memuat naik rakamannya di YouTube sejak berusia 16 tahun.

Gadis ini turut ditawarkan menjadi artis syarikat rakaman Music Valley, namun menolak kerana bimbang tidak dapat membahagikan masa antara kuliah dengan komitmennya sebagai penyanyi.

Penuntut tahun pertama Sarjana Muda Perguruan Pengkhususan Bahasa Inggeris di Institut Perguruan Ilmu Khas ini meletakkan pelajaran sebagai keutamaan kerana mahukan masa depan yang lebih terjamin.

“Memuat naik rakaman di YouTube hanya untuk berkongsi bakat dengan teman yang meminati muzik. Buat masa ini saya tak boleh melakukan dua perkara dalam masa sama. Justeru, biar saya tamatkan pengajian terlebih dulu.

“Pun begitu, minat terhadap muzik tidak pernah surut dan jika satu hari nanti saya bernaung dengan mana-mana syarikat rakaman, saya akan menyanyi tapi tetap berpegang dengan pendirian sekadar mengisi masa lapang,” katanya yang bukan saja pandai memetik gitar tetapi turut mahir bermain keyboard.

Berbeza dengan Nurnazarina Mahrif, 29, atau lebih popular dengan nama jolokan The Shy Singing Doctor, pembabitannya menghasilkan video nyanyian semula yang dimuat naik ke YouTube pada mulanya dilakukan sekadar memenuhi permintaan arwah ibunya, Rakiah Abdul Rahman yang meninggal dunia akibat barah payudara pada Ogos 2011.

“Arwah ibu sangat meminati lagu ‘Padamu Ku Bersujud’ nyanyian penyanyi Indonesia, Afghan dan meminta saya mencarikan cakera padat lagu itu atau memuat turun di Internet.

“Malangnya, saya tidak menjumpai album itu dan bertekad menyanyikannya sendiri sebagai kejutan kepada arwah ibu. Saya menyiapkan video itu dua hari sebelum kematiannya, tetapi dia tidak sempat menonton.

“Saya terkilan kerana tidak dapat menunaikan hasrat terakhirnya dan sejak itu saya aktif merakam dan memuat naik video ke Youtube. Sehingga hari ini saya ada 69 rakaman video nyanyian semua penyanyi popular dalam serta luar negara,” katanya yang bertugas di Unit Radioterapi Onkologi dan Paliatif, Hospital Umum Sarawak (HUS).

Graduan Ijazah Sarjana Muda Perubatan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu berkata, melalui sesi menyanyi, dia dapat meredakan tekanan kerja selain menjadi terapi memulihkan semangat selepas kehilangan ibu tersayang.

Mendapat dorongan bapanya, bekas wartawan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Kuching, Mahrif Bujang, 64, Nurnazarina turut diberikan sokongan oleh rakan setugas dan pesakit untuk terus menunjukkan bakat terpendam itu.

“Terbabit dalam bidang ini tidak bermakna saya mengabaikan tanggungjawab, saya hanya melakukannya pada waktu rehat atau selepas waktu kerja, malah ia sedikit pun tidak mengganggu tugas saya sebagai doktor,” katanya.

Post a Comment

✿ Terima Kasih kerana singgah di Blog Ini
✿ Segala komen anda amat dihargai

 
Top