APA ITU MAAL HIJRAH
Apa Yang kita Boleh Ambil dari Semangat Hijrah?
- Dari rasa putus asa kepada harapan
- Dari kemalasan kepada usaha
- Dari kelalaian kepada kesedaran
Kembali Menghayati Makna Hijrah
- Lambang perjuangan akidah
- Simbol kesabaran dalam menegakkan kebenaran
- Permulaan kepada pembangunan negara Islam pertama
Hijrah Kita Hari Ini
Jangan risau kalau tahun lepas kita rasa tak banyak berubah. Hijrah bukan soal cepat atau lambat, tapi soal keikhlasan untuk berubah.
Contoh hijrah kita hari ini:
-
Dari solat lewat ke solat awal waktu
-
Dari suka mengeluh kepada suka bersyukur
-
Dari bergantung pada manusia kepada bergantung pada Allah
Hijrah juga bermaksud kita tinggalkan perkara yang Allah tidak suka, dan kita mula peluk semula apa yang Allah cintai. Sedikit demi sedikit, tapi istiqamah. Itu lebih baik daripada terus kekal di tempat yang sama tanpa perubahan.
Doa Akhir dan Awal Tahun Hijrah
Bagi yang ingin menutup tahun 1446H dengan pengharapan dan membuka 1447H dengan doa, berikut adalah dua doa yang boleh diamalkan:
"Ya Allah, segala yang telah aku lakukan sepanjang tahun ini yang Engkau larang namun aku belum bertaubat, yang mana Engkau tidak redha, dan yang telah aku lupakan tetapi Engkau tetap menghitungnya, sedangkan Engkau bersabar terhadapku, yang menyeru aku untuk bertaubat selepas melakukan maksiat – maka aku mohon ampun kepada-Mu, ya Allah. Ampunilah aku. Jangan Kau putuskan rahmat-Mu daripadaku."
"Dan segala amal kebaikan yang telah aku lakukan sepanjang tahun ini yang Engkau redhai, semoga diterima dan ditulis sebagai amal soleh yang mendekatkanku kepada-Mu."
Doa Awal Tahun (dibaca selepas Maghrib 1 Muharram)
"Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang kekal abadi. Engkaulah yang awal dan tiada permulaan bagi-Mu. Dengan rahmat-Mu yang luas, kami memohon agar Engkau jadikan tahun baru ini tahun yang penuh dengan kesejahteraan, iman, taqwa, rezeki yang halal dan keberkatan."
"Ya Allah, kurniakanlah kepada kami kekuatan untuk memperbaiki diri, menjauhkan diri dari maksiat, dan istiqamah dalam amal kebaikan. Tetapkan hati kami dalam jalan-Mu dan jadikan kami hamba yang bersyukur."
Azam Tahun Baru: Biar Kecil Tapi Ikhlas
Kekda yakin ramai antara kita sudah biasa dengan senarai azam — nak jadi lebih baik, nak capai target itu dan ini. Tapi jangan lupa, azam terbaik adalah yang bermula dengan niat lillahita’ala dan disertai dengan usaha walau sedikit.
Tak perlu terlalu banyak. Pilih 2-3 perkara yang kita benar-benar nak ubah:
-
Solat Subuh berjemaah
-
Tutup aurat dengan sempurna
-
Kurangkan media sosial dan banyakkan bacaan al-Quran
-
Luangkan masa lebih berkualiti dengan keluarga
Yang penting: istiqamah, bukan sempurna.
Salam Maal Hijrah 1447H buat semua yang sedang membaca.
Semoga tahun ini membawa kita lebih hampir dengan Allah, menjadikan kita insan yang lebih tenang, lebih matang, dan lebih bijak dalam menghadapi ujian dunia.
“Barang siapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka akan mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak...”
(Surah An-Nisa’: 100)
Biar perlahan, asalkan menuju Allah.
Biar sederhana, asalkan ada nilai.
Dan biarlah kita bukan sekadar tahu tentang hijrah… tetapi benar-benar menghayati maknanya.