IBU SELAMAT DIIJABKABULKAN | Tajuk yang pendek tapi, Alhamdulillah, syukur akhirnya ibu dah jumpa pilihan hatinya sendiri.Setelah onak duri yang dia tempuh selama ni, kekda bersyukur dia dapat jumpa dengan orang yang dia sendiri pilih.
Ini adalah perkahwinan yang ketiga untuk ibu dan semoga perkahwinan yang terakhir untuk dia dan pakcik.Dengan suami pertama iaitu ayah kekda meninggal semasa ibu mengandungkan adik kami yang bongsu iaitu yang kelima.
Kehidupan seorang janda bukan mudah, nak-nak bila usia masih muda.Terlalu hadap dengan sekeliling yang selalu mengata itu ini sehinggalah berjumpa ayah tiri kekda.Pelayaran rumah tangga tidak kekal kekda boleh simpulkan kepada tiada jodoh tu sudah mencukupi.Walau jahat atau buruk seseorang ayah tu ada sisi baiknya yang tak pernah dilupakan sehingga sekarang.Masih kekal bersama berhari raya, berjumpa dan sebagainya.Dan itu yang kekda harapkan bila antara mereka jodoh dah takde.
Siapalah kita untuk menidakkan aturan yang Allah bagi.Tak sampai setahun mak single, berjumpa dengan pakcik dan mereka berkahwin.Alhamdulillah, walau dapat tentangan yang maha hebat dari adik beradik, kami akur Allah dah aturkan segalanya.
Bukanlah kami menentang kerana masalah diri sendiri tapi lebih kepada takut jika perasaan ibu dipermainkan.Cukuplah derita yang dia tanggung yang kami sahaja tau masa tu.Bagaimana kehidupan kami bersama ibu sehingga dia berjumpa dengan ayah kepada adik-adik kami yang baru, ia tetap adik beradik dari rahim yang sama.Seorang anak mestilah nak yang terbaik untuk ibunya, begitu juga seorang ibu.Beberapa kali juga pihak pakcik berjanji kepada kami untuk jaga ibu sebaik yang mungkin.Tolak la macam mana pun, bila dah tertulis jodoh dari Allah, ia tetap akan jadi.Maafkan kami kerana tentangan yang maha hebat yang ibu terima.Percayalah kami sayang ibu.
Allah maha sayang akan hambanya, mungkin pertemuan dengan suami baru boleh membahagiakan dia.Kami tanamkan diri kami, sosok seorang anak tak sama dengan sosok seorang suami.Ibu perlukan suami dan kami perlu faham keadaan tu.
Dengan izin Allah, alhamdulillah ibu kami telah disatu kan pada 24 April 2026 bersamaan dengan hari jumaat.Air mata kegembiraan dan kesedihan tak pernah putus dari kami adik beradik.Disebalik kegembiraan, ada hati yang perlu dijaga.Ada keprihatinan yang perlu kami mata-matakan.
Alhamdulillah walaupun masing-masing baru je berjumpa pada hari raya tu, kami bersatu kembali untuk majlis ibu pulak, dan insyallah akan bersatu kembali pada bulan ogos nanti untuk perkahwinan adik perempuan kami.
Kekda bersyukur kerana dalam perjalanan ibu untuk berumahtangga, kekda banyak menggalas tanggungjawab membawa ibu ke sana sini bagi menyiapkan segala dokumen perkahwinan.Itu je yang kekda boleh berikan kepada dia.Tak terbalas jasa dia yang dah menjaga kekda sakit dari kecil sehinggalah kekda sebesar ini.Dialah menjadi penguat kekda dititik lemah menjadi seorang isteri dan menantu.
Kekda doakan semoga dengan kehidupan yang baru, ibu dapat membentuk, menghargai dan merasai segala kasih sayang yang ibu tak pernah dapat sebelum ni.Semoga penat yang ibu pernah rasa semasa menjaga kami berseorangan, terbalas dengan sosok tubuh suami yang sayangkan ibu sepenuh hatinya.
Alhamdulillah semakin besar keluarga kekda, ni antara adik beradik yang hadir untuk hantar ibu ke rumah suaminya.Ada yang dah pun balik ke rumah masing-masing dek kerana kerja yang harus dilakukan.
Semoga ibu bahagia sehingga ke jannah bersama dengan bapak.Terima kasih kerana bertahan dengan ego kami adik beradik sebelum ni.
Kun Fayakun
Jadilah ,maka jadilah ia




